Sahabat Sejati

Sunday, 26 December 2010

Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza



Saya memang suka memerhati. Banyak tempat yang saya pergi saya akan sentiasa memerhati. Pelikkah? Mungkin ya bagi sesetengah orang, mungkin juga hanya sesuatu yang biasa.

Apa yang saya perhati. Saya suka memerhati gelagat manusia, saya suka memerhati alam semulajadi dan saya juga suka memerhati apa yang berlaku di sekeliling. Saya memerhati bukan dengan pandangan mata yang kosong tanpa warna. Saya memerhati untuk mencelikkan mata hati dan mencetus rasa peduli.

Saya memerhati bukan kerana mahu tahu apa yang tiada pada orang lain, jauh sekali untuk mencari kelemahan dan kekurangan mereka. Saya memerhati untuk menilai dan mengenal diri agar terbit rasa syukur dengan apa yang dimiliki.

Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza

Sesungguhnya manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4. Benar manusia memang makhluk terbaik dan istimewa. Mereka boleh melonjak melebihi darjat malaikat jika keimanannya kukuh dan menebal serta boleh turun sehina-hina haiwan jika menurut hawa nafsu dan menyeleweng dari jalan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Ada ketikanya timbul pertanyaan dari akal saya yang dangkal dan cetek ini, "mengapa Allah menjadikan manusia itu ada yang cantik dan ada yang tidak, ada yang berkulit cerah dan ada yang berkulit gelap, ada yang bermata sepet, ada yang bergigi jongang, ada yang telinga kecil, ada yang kening tebal dan berbagai-bagai persoalan lagi." Begitulah cetusan akal cetek dan jahil seorang manusia serta pandangan mata makhluk yang serba tidak sempurna ini.

Saban malam saya memerah otak mencari jawapan yang dapat meredakan hati, kadang-kadang bertamu hingga ke alam mimpi. Saya masih mencari jawapan yang hakiki. Akhirnya saya temui jawapannya di dalam majlis ilmu di kalangan sahabat saya.

"Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza" kalimah inilah yang membangkitkan saya dari persoalan yang mendodoi-dodoi hidup. Allah SWT berfirman:

"Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat dosa) terhadap Tuhan kamu Yang Maha Pemurah.
Tuhan yang telah mengatur kejadianmu lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya diadakan anggota itu) serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya.
Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki, Dia susunkan kejadianmu." (al-Infithar: 6-8)

Subhanallah! Rupa-rupanya setiap kejadian anggota badan sesuai dan seimbang dengan anggota yang lain. Mungkin mata yang sepet sesuai dengan muka yang panjang, mulut yang luas kerana sesuai dengan giginya, mungkin juga jari yang panjang sesuai dengan lengan yang kurus. Mungkin juga jerawat yang tumbuh di pipi sesuai dengan wajahnya. Semuanya seimbang menurut susunan yang dikehendaki-Nya. Ya Allah dangkalnya akalku, ceteknya pengetahuanku.

Sentiasa bersyukur dengan pemberian-Nya, adapun akal kita dangkal untuk memikirkan hikmah disebalik setiap kejadian-Nya

Syukur dan terus bersyukur dengan limpah kurnia-Nya kerana Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Walaupun kita rasa kita tidak cantik dan tidak menarik, ada jerawat, kulit gelap dan sebagainya. Firman Allah SWT:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)

Kemudian ditambah lagi dengan satu hadis Rasulullah saw untuk ketenangan hati.

Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan juga longgokan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada amal ibadat dan hati kamu." (Muslim)

Alhamdulillah. Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza. Jiwa saya tenteram.

5 comments:

A.D.A.M. said...

Haah kan. Lagipun, kecantikan tu bersifat subjektif kan. =)

immukmin said...

salam abuikhwan...nice n3..kecantikan itu pada semua ciptaan Allah..cuma kdg2 diri ini..yang jahil tidak mengsyukurinya...semoga kita sentiasa bersyukur dgn segala nikmat Allah... tq akhi..

abuikhwan said...

Benar sahabat sekelian, kecantikan makhluk itu bersifat subjektif dan akan sirna ditelan arus masa adapun yang kekal hanyalah zat Tuhan yang penuh kemuliaan. Semoga kita sentiasa bersyukur dengan pemberian-Nya...

Nurul Nadiah Mamat said...

setiap yang Allah jadikan adalah tercantik dan terindah......

Mus Takim said...

pandangan yang bermakna......

Post a Comment