Sahabat Sejati

Tuesday 28 December 2010

Tahun baru, apa yang baru atau sama sahaja...


Assalamualaykum wrm. teman-teman sekelian,

Tirai 2010 hampir dilabuhkan. Insya-Allah beberapa hari lagi kita semua akan menguak jendela 2011. Pastinya sepanjang 2010 bermacam-macam asam garam yang telah dilalui. Pahit, manis, suka dan duka. Kehidupan manusia memang begitu.

Sambutan tahun baru cukup sinonim, setiap tahun. Boleh dikatakan kebanyakan tempat mengadakannya, khusus di bandar-bandar besar. Berkumpul beramai-ramai, mengira 5, 4, 3, 2, 1... lalu gegak gempita dengan jeritan dan kelakuan persis hilang akal bersama letusan bunga api sebagai pelengkap majlis.

Saya sendiri ada pengalaman itu. Bukan pengalaman menyambut tahun baru, tetapi bersama dalam misi dakwah pada malam tahun baru. Kami adalah "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang". Seawal selepas isya` kami berkumpul di hadapan Masjid Negeri, mengatur strategi lalu bergerak mengedar risalah dakwah, menyampaikan nasihat dan penerangan. Alhamdulillah, penerimaan cukup baik walaupun ada segelintir yang bersikap skeptik, sinis, dan ada juga yang marah-marah sambil menghamburkan kata-kata yang tidak enak didengar. Perkara biasa di dalam medan dakwah.

Jika kita soroti sirah perjuangan Rasulullah saw, baginda menghadapi dugaan lebih dari itu. Rasulullah saw juga pernah disakiti, dicerca, dihina dan dituduh pembawa ajaran sesat oleh kafir Quraisy lantaran usahanya untuk menyebarkan Islam. Tetapi baginda telah menunjukkan contoh terbaik dalam berdakwah iaitu membawa falsafah kesabaran dalam dakwah dan perjuangannya. Baginda begitu sabar dan gigih menyebarkan ajaran agama sehingga sanggup disakiti dan diseksa oleh kaum musyrikin. Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakan pengikut baginda adalah terdiri daripada ahli keluarganya dan golongan masyarakat bawahan.

Apabila turun perintah Allah SWT agar berdakwah secara terang-terangan sebagaimana firman-Nya:

"Maka sampaikanlah secara berterus-terang semua yang diperintahkan kepadamu. Dan janganlah kamu endahkan orang-orang musyrik itu." (al-Hijr: 94)

Maka baginda memperhebatkan kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka dan semakin ramai yang mengikutinya. Tetapi pada masa yang sama, baginda menghadapi berbagai-bagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin Mekah Quraisy yang pekat mempertahankan agama nenek moyang mereka.

Tercatat di dalam Sirah Nabawiyyah, peristiwa yang berlaku di Taif di mana memperlihatkan kesabaran yang tinggi serta akhlak seorang Rasul yang membawa rahmat ke seluruh pelosok alam.

Rasulullah menerima cacian tersebut dengan tenang. Baginda tidak menaruh dendam kepada mereka. Para pembesar telah melakukan bermacam-macam perkara untuk menentang Rasullullah daripada berdakwah. Baginda tidak menghiraukan ugutan mereka. Baginda terus menyeru penduduk Taif agar memeluk agama Islam.

Apabila gagal mengusir Rasulullah, mereka menyuruh semua penduduk Taif mengejek dan menghina baginda. Ramai penduduk Taif akur. Apabila Rasulullah dan Zaid lalu di hadapan mereka, mereka akan mengejek baginda.

Namun baginda hanya tersenyum. Ada juga yang kagum dengan kesabaran baginda. Namun bilangan mereka itu kecil sahaja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Penduduk Taif mencapai kayu dan batu lalu membaling ke arah Rasulullah dan Zaid. "Berlindunglah di belakang saya, Rasulullah," kata Zaid.

Zaid melindungi Rasulullah. Apabila ada kayu atau batu dibaling ke arah mereka, Zaid akan segera menepis.

Beliau mengalami luka parah akibat terkena batu dan kayu yang dibaling itu. Zaid tidak menghiraukan kesakitannya. Kasih sayangnya terhadap Rasulullah melebihi segala-galanya. Rasulullah hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Rasulullah dan Zaid berjalan keluar dari Kota Taif dalam keadaan cedera dan keletihan. Baginda kesal dengan sikap penduduk Taif. Selama sepuluh hari baginda berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah, mereka masih enggan.

"Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu. Aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Aku mengaku penghinaan manusia terhadapku," doa baginda sewaktu dalam perjalanan.

Malaikat Jibrail mendengar doa itu. Lalu meminta kebenaran untuk menurunkan bala ke atas penduduk Taif. Baginda tidak membenarkannya.

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberikan rahmat dan hidayah kepada orang-orang yang telah menghina dan mencaci baginda.

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, dikeji, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar orang yang menganiayai baginda memperoleh kebaikan.

Celikkan mata dan minda

Semua orang yang waras atau berakal sihat barangkali terkejut dengan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)baru-baru -ini yang menyebut bahawa jumlah anak luar nikah di kalangan gadis melayu yangberagama Islam pada tahun 2009 adalah 17,300 orang. Bilangan yang amat menakutkan.

Bagi tempoh 2004 sehingga 2009, jumlahnya adalah 74,723 orang. Sudah tentu angka-angka itu tidak termasuk bayi-bayi bangsa lain, bayi-bayi yang tidak didaftarkan, dibuang atau tidak sempat menikmati kehidupan di dunia ini. Sudahlah dosa terlanjur, anak pula di buang seumpama sampah.

Bayangkan dalam tempoh lima tahun lagi, bagaimana pula angkanya? Suatu jumlah dan fenomena yang memalukan dan menakutkan! Ia juga membawa konotasi, sebenarnya gadis remaja yang terjebak dalam keterlanjuran dan perzinaan lebih ramai daripada itu.

Jika dicampur dengan masalah-masalah sosial lain seperti penyalahgunaan dadah, ragut, rempit, merompak, membunuh dan sebagainya, sudah pasti kita tidak senang duduk memikirkan nasib masyarakat kita khususnya remaja hari ini.

Silap siapa? Tepuk dada tanya iman di dada yang setipis kulit bawang ini.

Satu cerita

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Beliau duduk menghadap murid-muridnya. Ditangan kirinya ada kapur, ditangan kanannya ada pemadam.

Guru itu berkata, "saya punya permainan... Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "kapur", jika saya angkat pemadam ini, maka berserulah "pemadam".

Murud-muridnya mengerti dan mengikut. Guru itu berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru tersebut kembali berkata, "baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka berserulah "pemadam", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "kapur".

Dan diulang seperti tadi, tentu sahaja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. namun lambat-laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa ketika, permainan berhenti. Guru itu tersenyum kepada murid-muridnya.

"Anak-anak, begitulah umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita lewat berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya.

Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tetapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat-laun kamu semua terbiasa dengan hal itu. Dan kamu mulai dapat mengikutinya.

Musuh-musuh umat Islam tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dengan etika. "Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal lumrah, seks sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain".

"Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, kamu sedikit demi sedikit menerimanya. Faham?" Tanya guru kepada murid-muridnya. 

"Faham cikgu..."

Kami mohon perlindunganMu Ya ALLAH! Selamatkan kami dari kemurkaan-Mu.

Anda mampu mengubahnya!!!

6 comments:

Anonymous said...

saban tahun setiap kali tahun baru mesti mcm-mcm yang jadi.. sedih lihat anak-anak muda zaman sekarang.. :( sedih jugak dengan diri sendiri sebab tak dapat banyak membantu.. :(

Mohamadazhan.com said...

salam tuan, peringatan bermakna, jom menjadikan rasulullah insan dan cth tauladan terbaik dalam hidup kita.amin

immukmin said...

salam..akhi...terima kasih atas peringatan.. yg berguna ini..insyaAllah..

abuikhwan said...

bersama memberi dan menerima peringatan..semoga hidup kita beroleh kebaikan dari-Nya. Kita harapkan.

||aLeaSaRa|| said...

assalammualaikum..setiap kali ada sambutan tahun baru,hari kemerdekaan dan pelbagai lagi acara,tunggulah 8,9 bulan kemudian lahirlah menimbun2 anak tidak sah taraf.Dulu cukup ssh nk bc berita ttg pembuangan bayi,penemuan mayat bayi dll.Skrg apa sdh jd dgn ngra kite yg mengangkat Islam sbg agama rasmi?Nak kata sekolah tak ajar agama,itu pelajaran teras.ntahlah..mhn Allah ldgi kite semua dr gejala yg tdk sht dan dimurkai Allah amin.

abuikhwan said...

Kembali kepada Islam secara keseluruhan, bukan Islam yang dijuzuk-juzukkan...

Post a Comment