Sahabat Sejati

Friday 17 December 2010

Pelik, kenapa unta nabi Saleh jadi mukjizat?

Soalan:

MUKJIZAT adalah sesuatu yang unik untuk membuktikan benarnya dakwaan seseorang Rasul, bahawa dia benar-benar seorang Rasul, seperti benarnya tongkat Nabi Musa as. bertukar menjadi ular. Al-Quran juga adalah mukjizat yang tiada tolok bandingannya. Akan tetapi saya pelik, bagaimana unta boleh menjadi mukjizat kepada Nabi Saleh as. Bukankah unta itu haiwan biasa yang terdapat di mana- mana negeri Arab. Bagaimana boleh unta menjadi mukjizat? Jelaskan.

Jawapan:

Mukjizat adalah sesuatu yang benar. Ia anugerah Allah kepada setiap Rasul utusan-Nya.

Semua mukjizat kepada Rasul-Rasul adalah sebagai bukti nyata kerasulan mereka pada zaman mereka sahaja.

Setelah mereka kembali kepada Allah, mukjizat itu juga hilang. Melainkan kesan kepada tempat-tempat berkenaan sahaja yang dapat dilihat sehingga ke hari ini. Kecuali al-Quranul karim, ia mukjizat dari dahulu, kini dan selama-lamanya.

Unta Nabi Saleh as. adalah mukjizat Allah kepada umat Nabi Saleh untuk membuktikan bahawa baginda benar-benar Rasul yang diutuskan.

Ceritanya tertera di dalam al-Quranul karim, terdapat dalam surah al-A`raaf dan beberapa surah lain.

Kesimpulan ceritanya, Nabi Saleh as. menyeru kaum Tsamud kepada agama Allah. Menyeru mereka menyembah Allah Yang Esa. Kaumnya ingkar, akhirnya mereka meminta bukti daripada beliau, agar mengeluarkan seekor unta betina yang bunting sepuluh bulan dari sebuah batu besar di tepi sebuah bukit.

Mereka mensyaratkan pula kepada Nabi Saleh, unta itu setelah keluar dari batu besar melahirkan anaknya di hadapan mereka. Unta itu pula hendaklah pula meminum dari perigi yang ada di tempat tersebut.

Setelah meminum dari perigi tersebut, handaklah ianya mengeluarkan susu, yang sebanyak mana air diminum. Dengan itu susu unta boleh diminum oleh seluruh penduduk kampung.

Permintaan kaum Tsamud itu ditunaikan oleh Allah SWT kepada nabi-Nya seperti yang mereka minta.

Allah menceritakan perihal ini di dalam al-Quran: "Nabi Saleh berkata: "Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya). Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana). (asy-Syua'raa: 155-158)

Kemukjizatan unta itu adalah daripada kisah lahirnya. Ia tidak beribu atau berbapa. Ia lahir daripada seketul batu besar, atas cabaran kaum Nabi Saleh.

Lahinya pula secara tiba-tiba. Mereka meminta yang bunting. Melahirkan anak di hadapan mereka. Meminum air yang mereka tetapkan dan mengeluarkan susu yang banyak. Semuanya berlaku.

Nabi Saleh mengingatkan kaumnya bahawa ini adalah unta Allah. Maksudnya unta khusus sebagai anugerah Allah sebagai mukjizat kerasulannya. Nabi Saleh mengingatkan mereka jika mereka menyakitinya, kelak bala Allah akan turun menimpa mereka.

Kaum Tsamud membunuhnya, maka bala Allah pun turun. Itulah mukjizat unta yang boleh dijadikan renungan, bahawa Allah SWT berkuasa apa sahaja untuk mengemukakan bukti benarnya Rasul utusan-Nya, dengan mukjizat yang diberikan kepada Nabi-Nya, tidak ada mana-mana insan atau makhluk yang boleh menyamai atau meniru keadaan tersebut.

Itulah dia mukjizat unta yang dipanggil unta Allah dan ia adalah satu mukjizat yang membuktikan benarnya kerasulan Saleh as. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din
Harakah bilangan 1585

2 comments:

immukmin said...

syukran akhi..hehe..suke entri ini...=)

abuikhwan said...

Elhamdulillah...

Post a Comment