Sahabat Sejati

Monday 6 December 2010

Orang muda dan peristiwa hijrah


Satu ketika.

"Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Allah telah mengizinkan saya berhijrah," kata Rasulullah saw kepada Abu Bakar as-Siddiq.

"Apakah saya akan menemanimu, wahai Rasulullah,"Abu Bakar bertanya.

"Benar, kamulah yang akan menemani saya," jawab Rasulullah saw.

"Bilakah masanya kita akan berangkat, wahai Rasulullah," Abu Bakar as-Siddiq bertanya lagi.

"Insya-Allah saya akan menjemput kamu apabila tiba masanya, sementara itu buatlah persiapan yang patut," jawab Rasulullah kepada Abu Bakar as-Siddiq. Sebelum itu Abu Bakar as-Siddiq memang sudah menyiapkan dua ekor untanya yang diserahkan pemeliharaannya kepada Abdullah bin Uraiqit sampai tiba waktu yang diperlukan.

Termasuk yang membantu hijrah Rasulullah saw ialah Amir bin Fuhairah yang mengembala kambing untuk menghilangkan jejak mereka. Manakala Asma` binti Abu Bakar pula ditugaskan menghantar makanan selama mereka berdua berada di dalam gua. Asma` ketika itu sedang sarat mengandung. Abdullah bin Abu bakar ditugaskan sebagai pengintip untuk mencari maklumat.

Di ketika yang lain

Bulan mengambang penuh, cahayanya menyimbah bumi Makkah yang tandus. Di Daar an-Nadwah berlangsung satu mesyuarat rahsia. Pembesar-pembesar Quraisy berkumpul memperkatakan sikap yang akan diambil terhadap Nabi Muhammad saw.

Akhirnya satu keputusan telah diambil .

"Kita ambil dari tiap-tiap kabilah seorang pemuda yang gagah dan berani, dan tiap-tiap pemuda itu kita beri sebilah pedang. Mereka hendaklah bergabung tenaga menikam Muhammad sampai mati., dan demikian darahnya terbahagi kepada semua kabilah. Dengan ini Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib tidak berani berperang dengan semua kabilah Quraisy," cadang Abu Jahal.

"Saya sanggup membiayai segala perbelanjaan untuk membunuh Muhammad, termasuk upah yang banyak kepada setiap pemuda yang terlibat," Abu Lahab pula berkata.

Allah Maha Mengetahui tidak akan membiarkan kekasihnya dalam kesusahan. Menurut riwayat seusai mesyuarat tersebut, Jibril datang menyampaikan kepada Rasulullah saw pakatan jahat tersebut.

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika orang kafir (Quraisy) mengatur rancangan (tipu daya) untuk menangkapmu, membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah membuat tipu daya pula (menggagalkan rancangan mereka). Dan Allah sebaik-baik pengatur rencana. (al-Anfal: 30).

Demikianlah disebut di dalam Raheeq al-Makhtum, apabila mengetahui rancangan jahat pembesar Quraisy, baginda segera membuat persiapan untuk berhijrah ke Madinah. Pada malam itu baginda membisikkan kepada Ali bin Abi Talib supaya memakai selimutnya yang berwarna hijau dari Hadralmaut dan berbaring di tempat tidurnya. Rasulullah saw juga meminta Ali memulangkan barang-barang milik kaum Quraisy yang disimpan di rumah baginda. 

Di sebutkan juga dalam riwayat bahawa Ali bin Abi Talib menutup seluruh tubuhnya, ketika pemuda-pemuda Quraisy mengintip ke tempat tidur Rasulullah saw melalui celahan pintu dan tingkap, mereka melihat sesusuk tubuh berselimut di tempat tidur itu dan mengira bahawa baginda masih tidur. Sebaliknya yang berada di dalam selimut tersebut adalah pemuda bernama Ali bin Abi Talib. Sedangkan Rasulullah telah pun keluar dari kepungan mereka dengan bantuan Allah SWT.

Orang muda

Saya tidak bermaksud untuk menceritakan kronologi peristiwa hijrah secara terperinci, kerana saya percaya sahabat sekelian sudah banyak kali mendengarnya saban tahun setiap kali awal Muharam menjelma. Tetapi saya ingin menyentuh tentang pembabitan dan sumbangan orang muda dalam misi yang besar ini.

Tidak dinafikan golongan muda memainkan peranan yang penting dalam sesuatu usaha atau tujuan. Apabila golongan muda atau belia melibatkan diri dalam sesuatu perancangan, mereka menggunakan potensi akal dan kekuatan tenaga kita lihat ianya pasti menjadi realiti, Insya-Allah. baik dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besar perkara seumpama mencorakkan pemerintahan negara. Mereka adalah agen perubahan, pencetus reformasi yang boleh merubah dunia. Rasulullah saw memberikan perhatian kepada pembinaan jati diri dan akhlaq anak muda, oleh kerana itu kita dapat lihat generasi awal dakwah terdiri daripada golongan muda.

Rasulullah saw dilantik menjadi rasul ketika usia 40 tahun, Abu Bakar ketika itu berusia 38 tahun, Mus`ab bin Umair 17 tahun, Arqam bin Abi Arqam berusia 16 tahun, Zubir al-Awwam 16 tahun, Ali bin Abi Talib masih kanak-kanak begitu juga dengan Hanzalah Abu Amir dan Talhah bin Ubaidillah serta ramai lagi golongan muda yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Mereka semua dicetak oleh Rasulullah untuk menjadi generasi dakwah yang hebat.

Kita lihat golongan muda yang membantu misi hijrah ini seperti Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abu Bakar yang bertindak sebagai pengintip dan pemberi maklumat kepada Rasulullah saw, Asma` binti Abu Bakar yang menghantar bekalan makanan, Abdullah bin Fuhairah yang mengembala kambing bagi menghilangkan jejak serta Abdullah bin Uraiqit yang bertindak sebagai penunjuk jalan.

Tetapi kita jangan lupa mereka yang terlibat dalam misi untuk membunuh Rasulullah saw juga adalah orang muda. Ini bermakna ada orang yang muda yang menjadi penolong kepada Rasulullah saw dan ada sebahagian orang muda yang menjadi penentang kepada Rasulullah saw. Inilah realiti yang berlaku sekarang. Ada golongan muda yang taat pada perintah agama dan ada yang jauh dengan agama. Dimana silapnya?

Penutup

Krisis kebejatan moral belia atau orang muda kini amat membimbangkan. Ia semakin hari semakin membarah dan bagaikan tidak kunjung padam. Selesai satu muncul pula sepuluh kerosakan. Isu dadah, rempit, perzinaan, pembuangan bayi, pelacuran, samseng, murtad, hiburan yang melampau-lampau dan sebagainya semakin memeningkan kepala. Menyebabkan orang muda semakin hanyut dan jauh dengan agama.

Ditambah lagi dengan isu politik yang semakin bersimpul, rasuah, penyelewengan, ISA pun masih ada lagi. Semuanya amat merimaskan.

Justeru itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa dan guru ada peranannya dalam meneguhkan institusi kekeluargaan, memberi penekanan ilmu agama ke dalam diri anak-anak, serta meneguhkan akhlaq dan jati diri.

Kerajaan juga ada peranan yang lebih besar dalam membentuk jati diri belia dan beliawanis. Media elektronik dan media cetak hendaklah memaparkan maklumat yang boleh meningkatkan penghayatan agama, pembinaan saksiah dan keyakinan diri. Agar generasi yang lahir selepas ini adalah generasi yang mampu melakar sejarah dengan tinta emas. Kita harapkan.

Seeru `ala barakatillah

2 comments:

immukmin said...

assalmmualikum..akhi....immukmin..setuju..dan amat tertarik dengan entri akhi..mmg itu yg sebaiknya... sebgai lelaki yang masih muda belia..mmg immukmin rasa..ini berpunca daripada...konspirasi..dan hiburan dari luar...tiada siapa yang boleh mengubahnya...selain daripada pendidikan berteraskan agama...terapkan dari kecil lagi...

anak kecil dilahirkan seperti kain putih yang bersih suci dan ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadi yahudi ataupun nasrani

abuikhwan said...

Benar, pentingnya pendidikan agama dalam membina jati diri dan benteng dari gejala yang merosakkan.

Post a Comment