Sahabat Sejati

Wednesday 8 December 2010

Indahnya persahabatan



“Kita nak ikut mana ni, jalan lama atau highway?” Tanya sahabat saya.

“Rasanya baik ikut jalan lama, nanti boleh tengok kampung, rumah-rumah, lembu, kambing. Kalau ikut highway hutan je kiri dan kanan,” jawab saya memberi cadangan.

“Betul juga tu, seronok juga tengok suasana kampung. Kita pun bukannya nak kejar masa,” celah sahabat yang seorang lagi.

“Ok, kalau macam tu ikut jalan lama,” sahut sahabat yang pertama tadi. Persetujuan segera dicapai. Mudah.

Pagi yang cerah, kami memulakan perjalanan menuju ke Jerantut melalui jalan lama. Seronok menikmati panorama di kiri dan kanan jalan, kawasan kampung dan hutan hijau tidak lupa alur jernih yang menderu. Perjalanan diisi dengan perbualan yang menceriakan suasana, kadang-kala bersulam derai tawa tatkala kelucuan hadir bertamu.

Firman Allah SWT:

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]

Kenali sahabat

"Jauh berjalan luas pandangan, banyak pengalaman" kata orang tua-tua. Tetapi bukan itu sahaja yang diperolehi bahkan menambah jaringan sahabat dan memutik kemesraan serta mengenal hati budi teman sedia ada.

Sesungguhnya manusia adalah makhluk sosial, mana mungkin dapat hidup sendirian. Setiap orang perlu kepada bersahabat. Setiap orang akan memilih sahabat yang mempunyai kecenderungan yang sama. Salah memilih sahabat akan menyesal kemudian hari, manakala sahabat yang baik akan mengingatkan kepada akhirat.

Rasulullah saw bersabda:

"Apabila seseorang itu dikehendaki oleh Allah menjadi baik, maka Allah memberikan rezeki kepadanya berupa seorang kekasih (sahabat) yang soleh. Kalau ia lupa, kekasih itulah yang mengingatkannya. Jikalau ia ingat maka kekasih itu akan menolongnya." (Abu Daud)

Teringat saya kepada riwayat, pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saiyidina Umar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi.

Lantas Saidina Umar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki itu?"
Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin."

Saiyidina Umar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?"

Orang itu jawab, "Tidak pernah,"

Bertanya lagi Saiyidina Umar, "Apakah engkau pernah berjiran dengannya?"

Orang itu menjawab,"Tidak pernah."

Lantas ditanya Saiyidina Umar lagi, "Macam mana engkau kenal dia?"

Dijawab si pemuda. "Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik."

Saiyidina Umar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya."

Bermusafir bersama dan bergaul rapat itu adalah di antara jalan untuk kita saling mengenal hati budi. Setelah bermusafir barulah kita mengetahui hati budi dan cerminan sebenar seorang sahabat. Baguskah dia, pemarahkah dia, bakhilkah dia dan sebagainya. Itulah khasiat di sebalik setiap kembara yang di lalui.

Itulah sebabnya Saiyidina Umar menilai bahawa selagi kita tidak pernah bermusafir bersama, atau bergaul mesra, janganlah kita mendakwa bahawa telah mengenalinya. Jangan!

Kembara yang walaupun hanya beberapa hari itu memberi erti yang amat besar bagi diri ini. Banyak kenangan pahit, manis, suka dan duka yang ditempuhi bersama. Alhamdulillah, itu semua mengeratkan jalinan ukhuwah dan persahabatan di samping mengenal hati budi sesama kami. Kata orang “tak kenal maka tak cinta”.

Sesungguhnya perjalanan hidup ini adalah satu proses untuk mengenal hati budi sahabat dan paling utama adalah mengenal hati budi sendiri.

Seeru `ala Barakatillah.

4 comments:

Mus Takim said...

kembara mbwa erti yg brmkna..

abuikhwan said...

kembara mencari erti persahabatan...

Cik Aqilah Wardah said...

wardah kembara ke sini menghargai hadirnya seorang sahabat... shukran akhi.. :)

abuikhwan said...

Bersama sahabat sekelian , kembara mencari hamba...

Post a Comment