Sahabat Sejati

Monday 27 December 2010

Hujan adalah rahmat buat semua

"Ya Allah, ya Tuhan kami! Jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami"

Saya melangkah keluar dari masjid, di luar rintik-rintik hujan mula berguguran. Malam ini kuliah maghrib telah disampaikan oleh seorang pendakwah yang diundang khas dari utara semenanjung. Alhamdulillah, cukup bertenaga kuliah yang disampaikan.

Sempat saya bertemu dengan ustaz tersebut, bersalam dan memeluknya serta memohon doa darinya. Itulah yang sering saya lakukan tatkala bertemu dengan alim ulama`, meminta doa mereka, mudah-mudahan dengan berkat amalan mereka yang soleh dan paling ikhlas. Insya-Allah.

“Doakan kebaikan untuk ana, ya ustaz,” kata saya.

”Enta pun doakan untuk ana juga,” balasnya sambil menyuakan senyuman. Kemesraan segera berputik. Manisnya ukhuwah di atas nama dakwah dan perjuangan.

“Musim tengkujuh belum habis lagi,” saya bersuara sendirian sambil cepat-cepat menuju ke kenderaan. Bimbang melihat rintik hujan yang mula bertukar menjadi semakin lebat.

Memandu sendirian di keheningan malam, berteman iringan merdu zikir munajat oleh almarhum ustaz Asri Ibrahim di corong radio mencetuskan damai ke dalam diri.. Suara emas yang masih tiada penggantinya lagi.

Masih terasa akan kehilangannya. Nasyidnya, zikirnya dan tazkirahnya adalah peneman dan penghibur semenjak di alam persekolahan. Semoga semuanya menjadi amal soleh buatnya.

Nostalgia ketika hujan

Teringat perbualan dua orang ‘abang’ ketika sedang menunggu bas untuk pulang ke asrama semasa belajar dahulu. Wah! Pakaian mereka, ‘rock kapak habis’. Anda tahu rock kapak? Cukup terkenal di tahun 80-an dan 90-an dulu. Anda boleh saksikannya dalam filem `ROCK` yang ditayangkan satu ketika dahulu, yang salah seorang pelakonnya adalah Que Haidar.

“Hish..hujan la pulak, wa kalau hujan-hujan ni yang leceh ni...” kata seorang daripada mereka, dengan nada yang seperti kecewa.

“A`ah, lebat gilerr, wa cakap lu...” sampuk pula teman disebelahnya sambil mengerbangkan rambutnya yang panjang mengurai. NGERI...

“Apalah...hujan pun leceh...gilerr, kan ke rahmat Tuhan,” saya berkata di dalam hati. Bimbang juga kalau menegur dengan suara yang kuat nanti diherdik atau dijentik, walaupun saya mengenali mereka berdua. Satu kampung.

Hujan adalah rahmat

Hujan adalah rahmat Tuhan, itu yang sentiasa kita sematkan di dalam hati. Kadang-kadang ada yang memandang hujan sesuatu yang tidak baik, memberi masalah. Kita tidak dapat bersiar-siar bersama keluarga, tidak dapat menjemur pakaian dan menyebabkan bermacam-macam aktiviti terbantut, sebab hujan. Kita terlupa bahawa hujan menghidupkan pokok-pokok, menghidupkan alam. Dan faedah kebaikan ini berbalik semula kepada kita, tetapi kita tidak menyedarinya dan tidak pernah terfikirkannya.

Allah SWT berfirman:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, kami halakan dia ke negeri yang mati (daerah yang kering-kontang), lalu Kami turunkan hujan dangan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (al-A`raaf: 57).
Satu hadis yang masyhur:

Daripada`Atha` bin Abu Rabah ra. katanya, dia mendengar Ummul Mukminin A`isyah rha. berkata: "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah baginda berjalan mundar-mandir. Apabila hujan turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan kegelisahannya hilang. A`isyah berkata: Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda begitu gelisah." Baginda menjawab: Aku bimbang kalau-kalau angin mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Muslim)

Malaikat Mikail yang menguruskan hujan, mengatur pergerakan awan dan angin, tumbuh-tumbuhan serta rezeki makhluk dengan perintah Allah SWT. Tidak setitis pun hujan yang turun dari langit serta tidak bergerak seinci awan melainkan dengan campurtangan Malaikat Mikail. Demikianlah apa yang disebut oleh Imam Ibnu Kathir di dalam kitabnya.

Satu kisah yang tercatat di dalam Sahih Bukhari daripada Sayyidina Anas ra. Turut dimuatkan di dalam Sahih Muslim. Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat semasa Rasulullah saw sedang memberi khutbah. Lelaki itu memberitahu Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, telah binasa segala harta (akibat kemarau) dan berbagai usaha telah dilakukan. Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami.”

Maka Rasulullah saw pun mengangkat kedua tangan dan berdoa tiga kali dengan ucapan: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami.”

Anas berkata: “Demi Allah, tidak kami melihat satu awan pun di langit walau secebis antara kami dan bukit Sala`. Tiba-tiba muncul awan di langit seperti rupa perisai, maka ketika awan tersebut berada di tengah langit, ia berkembang dan kemudian menurunkan hujan. Demi Allah, tidaklah kami melihat matahari selama seminggu (hujan turun terus menerus selama seminggu). Kemudian seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw pada Jumaat yang berikutnya semasa khutbah. Lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, telah binasa segala harta (kerana banjir) dan berbagai usaha telah dilakukan, maka mohonlah kepada Allah untuk menahannya daripada turun (menahan hujan daripada berterusan turun)”. Maka Rasulullah saw pun mengangkat tangan berdoa: “Ya Allah, jadikanlah hujan ini turun disekitar kami dan bukan atas kami. Ya Allah, turunkanlah ianya atas gunung-ganang, bukit-bukau, lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.”

Seketika juga kami keluar dan berjalan di bawah sinaran matahari (hujan telah berhenti).

Allah yang Maha Pemurah yang menurunkan hujan dalam jumlah yang dikehendaki-Nya dengan ilmu-Nya Yang Maha Luas.

“Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” (al-Mukminun: 18)

3 comments:

mamawana said...

Alhamdulillah...hujan pun turun bersama air mata membasuh dosa dosa semalam....

immukmin said...

salam akhi...subhaAllah ,..indah emtri ini..perkongsian yg berguna...hujan adalah satu rahmat...

abuikhwan said...

rahmat-Nya...dambaan kami.

Post a Comment