Sahabat Sejati

Monday 20 December 2010

Hikmah memberi nasihat



Saya singgah di sebuah masjid untuk bersolat asar. Sementara menanti iqamah dilaungkan saya bersandar di dinding belakang sambil memerhatikan suasana di dalam masjid. Kelihatan ramai pelajar KAFA yang turut sama di dalam masjid. Ada yang berbual, ada yang bergurau sesama mereka, tidak kurang juga yang bermain-main.

Sebenarnya masjid tersebut berada di dalam satu kawasan dengan bangunan KAFA. Jadi, mereka bersolat asar terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Suasana agak hingar-bingar dengan suara mereka.

“Diam sikit, macam pasar!” tiba-tiba kedengaran suara separuh menjerit dari sebelah muslimat. Saya tersentak.

“Bising apa lagi ni, orang dah nak sembahyang tu!” sekali lagi kedengaran suara yang sama. Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Siapa yang buat bising pelajar atau si ‘ustazah’ yang bersuara itu. Beberapa orang pakcik menggeleng-gelengkan kepala. Entahlah apa yang ada di dalam kepala mereka.

“Diamlah!”

Satu perbandingan

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz di dalam satu kuliah.

Sebiji bola yang ditendang mengenai tingkap sebuah gereja yang menyebabkan tingkap itu pecah. Budak-budak yang bermain bola itu merasa takut. Mereka berkira-kira ingin melarikan diri. Tiba-tiba keluar seorang paderi yang menjaga gereja itu, lalu dia memanggil budak-budak yang bermain bola tadi. Sambil tersenyum si paderi itu memberi sebiji gula-gula getah kepada setiap seorang lalu menyuruh mereka memakannya. Ketika budak-budak tersebut leka mengunyah, dengan suara yang lembut dia menasihati mereka semua.

Budak-budak tersebut hanya mendengar tanpa berkata apa-apa kerana sibuk mengunyah gula-gula getah. Setelah selesai menasihati, si paderi tadi pun
memulangkan bola mereka semula, dan berlalu untuk melihat kerosakan tingkap tersebut. Selesai satu masalah.

Bagaimana agaknya jika bola itu terkena tingkap masjid, lebih buruk lagi jika tingkap itu pecah. Bolehkah kita bayangkan apa reaksi ahli masjid. Bagaimana agaknya nasib budak-budak yang mengakibatkan tingkap masjid pecah. Saya rasa pasti akan dimarahi dengan leteran yang panjang berjela persis ceramah.

Saya tidaklah mahu pukul rata mengatakan bahawa semua pegawai masjid bersikap demikian. Hanya segelintir sahaja dari mereka yang tidak mesra kanak-kanak. Tetapi sikap yang sebeginilah menyebabkan yang lain terpalit sama. Sepatutnya kita perlu lebih berhikmah dalam menasihati golongan muda ini. Kita bimbang golongan kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya kita didik untuk datang ke masjid tetapi menjauhkan diri dari masjid. Kita rasa hairan mengapa golongan muda ini susah nak ke masjid, ‘degil’ kata kita, tetapi kita terlupa yang sikap kita seumpama memusuhi golongan muda mendekati masjid.

“Tu nak merampas masjid le tu...” ada juga yang berbunyi begitu, tatkala golongan muda mula aktif melibatkan diri dalam program-program masjid. Ada yang merasa ia bagaikan satu ancaman, pening kepala. Sepatutnya baguslah orang muda dah mula menghulur sumbangan baik tenaga, masa maupun kewangan.

Peranan memakmurkan masjid

Baik pegawai masjid, orang ramai ataupun golongan muda, masing-masing ada peranan bagi memastikan masjid dimakmurkan.

Pada zaman Nabi saw dan Khulafa ar Rasyidin, masjid tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam termasuk hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan, menuntut ilmu, dan merencanakan kegiatan kemasyarakatan. Kaum muslimin membicarakan masalah-masalah agama, pendidikan, sosial, politik, dan berbagai masalah kehidupan di masjid, mengajak manusia pada keutamaan, kecintaan, pengetahuan, kesedaran sosial, serta pengetahuan tentang hak dan kewajiban kepada Tuhan dan Negara. Bermula dari masjid pula, mereka menyebarkan akhlak dan ilmu. Oleh karena itu, masjid merupakan tempat paling baik bagi kegiatan pendidikan dan pembentukan moral keagamaan.

Justeru kita merasa amat sedih jika ada masjid yang hanya dibuka pada waktu-waktu solat sahaja. Sedangkan roh kepada masjid adalah majlis ilmu, jika masjid tiada majlis ilmu seumpama tiada roh. Bagaimana sekiranya jasad yang tiada roh, pastinya jasad itu tidak memberi erti.

Namun demikian, pengisian kuliah di masjid juga mesti ditingkatkan ke tahap sesuai mengikut perkembangan masyarakat, dengan menghindari fekah yang menyusahkan supaya menjadikan Islam itu mudah dan praktikal.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengembalikan fungsi asal masjid dalam usaha memulihkan keadaan masyarakat yang semakin terdesak dan tersasar jauh dari ajaran agama.

Jadikan masjid mesra kepada semua lapisan usia, baik kanak-kanak, remaja, orang dewasa maupun orang tua. Anda mampu mengubahnya!

Seeru `ala barakatillah!

8 comments:

Mohamadazhan.com said...

ya betul tu, niat baik kalau cara salah tidak menjadi juga. strategi dakwah perlu mesra.kanak2 kian membesar...

JumpZeera said...

kadang2 rasa macam dah betul je sesuatu tindakan yang kita ambil tu, tapi tidak rupanya. perbandingan yg membuka mata saya, secara jujurnya. syukran! =)

abuikhwan said...

Semoga memberi dan menerima kebaikan dengan penuh berhikmah...

immukmin said...

yes!!! nice entri...tq atas peringatan abuikhwan..

||aLeaSaRa|| said...

salam..syukur masjid di tmpt kite byk adakan aktiviti masyarakat dan agama.area kite ada yg duduk banglo,teres dan apartmen tapi bila ada acara2 sukaneka,maal ijrah,korban semua turut serta.Hilang status org biasa dan kaya-raya.Semuanya sama.hrp berkekalan.

abuikhwan said...

Mudah-mudahan masjid sebagai pusat membina peribadi...

rafina mimi abdullah said...

bila baca entry ni teringat saya masa kecik2 dulu..memang selalu kena marah oleh pakcik2 kat masjid tu pasal selalu buat bising sebelum nak mula mengaji..biasalah budak2..kena la nasihat betul2 bukannya di herdik sebegitu rupa..

abuikhwan said...

Benar, pernah mengalami situasi yang sebegitu ketika kecil dahulu...

Post a Comment