Sahabat Sejati

Wednesday 29 December 2010

Bola yang dikejar


Malam ini televisyen menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bolasepak Piala Suzuki, di antara Malaysia dan Indonesia. Rasanya majoriti rakyat Malaysia menontonnya. Saya juga tumpang seronok menontonnya bersama keluarga.

Setelah bertungkus lumus, bermandi peluh mengejar sebiji bola di padang akhirnya pasukan Malaysia yang kita cintai muncul juara, dengan agregat 4 - 2. Syabas buat keseluruhan wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia. Bangga menjadi anak Malaysia.

Teringat kata-kata pensyarah sewaktu belajar dahulu: “Kalau nak tengok dunia, tengok orang yang bermain bola. Ditendangnya bola, dikejarnya semula. Setelah dapat bola, ditendangnya semula. Tak disimpannya bola itu, patutnya dah dapat bola bawalah balik.”

Lucu rasanya analogi yang dibuat, tetapi ada juga kebenarannya.

Katanya lagi: “Kita lihat manusia bertungkus lumus siang dan malam mencari kehidupan, mengumpul kesenangan. Sedangkan apa yang kita kumpul itu pasti kita tinggalkan. Tetapi apa yang pasti kita bawa ‘balik’ tidak pula kita bersusah payah mendapatkannya sebagaimana kita mencari dunia tadi. Memang benar, kalau musim durian kita sanggup berjaga malam di kebun menunggu durian luruh, tetapi sanggupkah kita berjaga malam semata-mata untuk berqiamullail.

Cari akhirat dengan dunia

Suatu ketika Umar bin Khattab menghadap Rasulullah saw. Ia mendapati Rasulullah sedang berbaringdi atas tikar yang membekas dibahunya. Umar berkata, "Wahai Rasulullah, mengapa tidak kau ambil tilam?:

Tiba-tiba Rasulullah saw merah padam kerana marah. "Apakah seperti Sarwaih, wahai Umar? Saya ini seorang nabi, bukan raja. Apa ertinya dunia bagiku? Aku dan dunia tidak lain seumpama pengembara yang berjalan di siang terik, ia berteduh sesaat di bawah pohon lalu pergi meninggalkannya."

Kisah ini amat memberi bekas.

Islam tidak pernah mengajar umatnya membenci dunia, tidak sekali-kali! Tetapi Islam mengingatkan umatnya agar berhati-hati dengan dunia. Jangan tergila-gilakan dunia, jangan mabuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat. Bahkan Islam mengajar umatnya bahawa dunia itu penting tetapi bukan tujuan kerana selepas ini ada kehidupan yang lain. Kehidupan yang abadi iaitu negeri akhirat.

Oleh itu, gunakanlah dunia ini dengan sebaik-baiknya untuk menuju kehidupan yang hakiki. Manfaatkanlah harta, masa dan tenaga yang ada untuk mencari keredhaan-Nya. Dunia adalah ladang untuk menyemai, yang hasilnya akan dipetik diakhirat nanti.

Ingatlah pesan Rasulullah saw: "Cinta kepada dunia adalah ibu kepada kerosakan"

1 comments:

immukmin said...

akhi..terima kasih...peringatan yg berguna

Post a Comment