Sahabat Sejati

Monday, 29 November 2010

Bagaimana nasib ibu bapa Nabi di akhirat nanti?

Soalan:

Ibu dan bapa kandung Nabi Muhammad saw iaitu Aminah dan Abdullah meninggal dunia sebelum baginda diangkat menjadi Rasul. Ini bermakna mereka berdua tidak sempat menerima dakwah dan tidak sempat bersyahadah. Ke mana mereka akhirnya nanti, syurga atau neraka atau bagaimana? Mohon penjelasan Dato`.

Jawapan:

Muhammad saw adalah insan terpilih. Dinobatkan sebagai Rasul akhir zaman dan diutuskan kepada sekelian manusia dan jin.

Kerasulannya kekal hingga ke hari kiamat. Ibu bapanya jelas tidak beriman dengannya kerana mereka meninggal dunia sebelum anak mereka dinobat sebagai Rasul. Benar kata anda. Yang penting bagi kita, kita beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.

Ibu bapa Muhammad saw jelas meninggal dunia sebelum sempat menganut ajaran Islam. Meskipun bapa Nabi bernama Abdullah (hamba Allah), tetapi belum beriman. Kita serahkan persoalan ini kepada Allah. Persoalan syurga neraka adalah hak Allah sepenuhnya.

Allah boleh dengan Iradah-Nya, untuk memasukkan orang yang kufur ke dalam syurga jika Dia mengkehendakinya, dan Dia boleh memasukkan seorang mukmin ke dalam neraka, jika Dia mengkehendakinya.

Namun Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya, walaupun kezaliman itu dengan pertimbangan sebesar zarrah.

Ada sahabat yang bertanya kepada Rasulullah saw, tentang ibu bapanya yang mati dalam keadaan kufur, bagaimana mereka di akhirat nanti. Nabi pernah menjelaskan kepada orang itu: "Bahawa ibu bapa kamu, sama dengan ibu bapa saya, mereka dalam neraka."

Namun demikian ada hadis lain yang diriwayatkan oleh para sahabat, bahawa Allah SWT memuliakan ibu bapa Nabi, dihidupkan seketika, bertemu dengan anaknya, mengucap syahadah serta beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian dimatikan semula.

Walaupun wujud pelbagai tafsiran mengenai status hadis ini, apa yang mustahak kepada kita, ialah kita serahkan kepada kebijaksanaan Allah SWT. Kerana, banyak pandangan mengenai ibu bapa Rasulullah saw, mereka adalah insan-insan yang hidup pada zaman tiada Nabi dan Rasul.

Insan yang hidup pada zaman tiada Nabi dan Rasul, zaman di antara dua Rasul yang berselang adalah seperti yang hidup wafatnya Nabi Adam as. dan sebelum dinobat Nabi Idris as. sebagai Rasul.

Zaman itu hilang pengajaran daripada Adam dan sebelum muncul wahyu untuk diimani, maka itulah orang yang dikatakan hidup di zaman fatrah (tiada Nabi dan Rasul).

Sama seperti orang yang hidup selepas Nabi Isa as. diangkat ke langit dengan kelahiran Nabi Muhammad saw. Mereka hidup di tengah-tengah.

Insan-insan pada zaman seperti ini, pada zahirnya semuanya mati kufur. Kemanakah mereka akhirnya?

Jika mereka itu hendak diazab Allah SWT kerana tidak beriman sedangkan tiada orang yang diutus untuk mengajak mereka beriman.

Dalam hal ini Allah SWT memberi petunjuk sebagaimana firman-Nya (mafhumnya): "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, sesiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazab sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Israa`: 15).

Al-Qurtubhi dalam tafsirnya, ketika menjelaskan ayat ini, antara lain beliau menyebut: "Ayat ini memberikan pengertian tentang golongan manusia yang tidak sampai kepada mereka risalah Islam. Yang nyata mereka diistilahkan sebagai ahlul fataarat, yang diakui kewujudan mereka itu oleh sesetengah ulama`.

Ahlul fataarat adalah golongan yang diserahkan keadaan mereka kepada Allah SWT. Terpulang kepada keadilan Allah SWT untuk mengadili mereka.

Yang mudahnya kita dalam melihat, bahawa insan pada zaman fatrah, khususnya kedua-dua ibu bapa Nabi Muhammad saw adalah pilihan Allah.

Allah lebih mengetahui keadaan mereka. Kita serah sahaja urusan ini kepada Allah SWT dan kita tidak perlu bersusah payah memikirkan perihal mereka kerana mereka telah kembali ke rahmatullah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Haron Din
Harakah bil: 1592

4 comments:

~cUmIeChIqI~ said...

hurmm..betul jugak.
tak pernah terfikir sblm ni.

abuikhwan said...

Benar, moga ia menjadi satu perkongsian yang bermanfaat.

Fuziani JSR said...

Soalan ini pernah ditanya oleh salah seorang teman semasa kursus saudara baru dan jawapan tuan blog lebih konkrit... Izinkan saya copy utk bacaan teman saya itu....

abuikhwan said...

silakan, semoga bermanfaat..

Post a Comment