Sahabat Sejati

Thursday 18 November 2010

Aidiladha 1431H


Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kamu semua kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya), dan carilah bekalan (dalam kehidupan dunia dan hari akhirat). Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa.

Aidiladha, bersempena dengan ibadat haji dan ibadat korban. Ibadat haji adalah salah satu daripada rukun Islam dan ibadat korban pula kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as. Dua perkara besar dalam agama Islam.

Ibadat haji, menghimpunkan umat Islam yang datang dari seluruh pelosok dunia. Mereka disatukan dalam persaudaraan Iman dan Islam mengikut rukunnya yang sama, walaupun berbeza mazhab dalam perkara cabang, berbeza bahasa, bangsa, warna kulit dan pangkat. Mereka disatukan dengan beriman dan beribadat kepada Tuhan yang satu, dalam keadaan mengadap ke arah satu kiblat, menjadi satu umat kepada nabi Muhammad saw, berpegang dengan satu kitab al-Quran, serta beramal dengan sunnah Rasulullah saw sehingga menjadi ajaran yang berterusan, tidak terhenti dengan wafatnya Rasulullah saw.

Rasulullah saw telah meletakkan semua orang yang menganut Islam dalam umat yang satu, di kalangan para sahabat yang berketurunan arab dan bukan arab. Salman al-Farisi yang berasal dari Iran, Bilal al-Habsyi dari Afrika yang berkulit hitam, Suhaib ar-Rumi yang berkulit putih bersama dengan seluruh para sahabat yang berbangsa arab generasi awal umat Islam.

Berpegang pada sunnah Rasulullah saw

Allah berfirman: "Dan sesiapa yang berpegang kepada yang lain daripada Islam (dalam agama dan cara hidup), maka dia tidak diterima dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang rugi." (ali-Imraan:85).

Ayat ini ditafsirkan oleh Rasulullah saw: "Sesiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak menepati urusan agama kita (Islam) maka dia tertolak." (Muslim).

Bukan sahaja amalan ibadat yang tidak menepati ajaran Islam ditolak, bahkan termasuk hukum dalam urusan kehidupan diri, berkeluarga dan memerintah negara yang tidak menepati ajaran Islam juga ditolak dan menderhakai Allah SWT serta Rasul-Nya.

Menderhakai Allah dan Rasul itu bukan sahaja apabila meninggalkan ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Termasuk juga dalam perkara maksiat besar menderhakai Allah dan Rasul apabila memakan makanan yang haram, hasil kerja haram, memakai pakaian yang tidak menutup aurat, tidak memberi nafkah yang wajib dan juga tidak bermuamalat dalam urusan perniagaan dan sebagainya. Begitu juga mentadbir dan memerintah negara tidak mengikut hukum Allah dan Rasul-Nya.

Ternyata di hadapan kita hari ini bahawa ajaran yang selain daripada Islam telah membawa akibat yang buruk di dunia sebelum menerima akibatnya yang lebih buruk di hari akhirat. Keadaan ini mewajibkan kita bertambah yakin kepada Islam yang benar dan adil, yang sungguh-sungguh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT:

"Dan tidak harus bagi seorang lelaki dan seorang perempuan yang beriman apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara dalam apa-apa sahaja urusan mereka, lalu mereka membuat pilihan yang lain. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah menjadi sesat dengan kesesatan yang nyata." (al-Ahzab:36).

Alhamdulillah hari ini kita melihat telah ada tanda-tanda kesedaran kembali semula kepada Islam, sehingga berlakunya seruan kebangkitan semula umat Islam. Telah berlaku kebangkitan dan semangat serta usaha memperkasakan umat Islam dengan mendirikan semula kerajaan Islam mengikut acuan al-Quran dan petunjuk Rasulullah saw.

Hari ini juga kita melakukan ibadat korban iaitu menyembelih binatang peliharaan, bagi memperingati kemenangan nabi Ibrahim as. dan ahli keluarganya, yang berjuang menegakkan Islam dan menolak syirik. Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana taat kepada perintah Allah.

Allah SWT menceritakan kisah benar yang wajib kita beriman kepadanya, cerita nabi Ibrahim as. dan keluarganya yang menjadi contoh Islam yang sebenar. Menerima perintah Allah melalui mimpi yang bersifat wahyu dari Allah, kerana mimpi para Rasul adalah wahyu. Begitu juga dengan nabi Ismail as. yang beriman kepada kerasulan ayahnya dan taat kepada perintah Allah dengan yakin. Seterusnya menyerah diri kepada perintah tersebut, menyerah inilah yang dinamakan Islam.

Adaptasi dari Khutbah Aidiladha 1431H
Masjid Qaryah Balok

0 comments:

Post a Comment