Sahabat Sejati

Thursday 27 May 2010

Sekadar renungan di tanah perkuburan


Kumail berkata, “Aku bersama-sama Ali ra. di dalam satu perjalanan. Beliau sampai di satu tempat yang tidak berpenghuni lalu beliau menghampiri sebuah kubur lalu berkata: “Wahai kamu penghuni kubur! Wahai kamu yang tinggal di kalangan orang-orang yang telah binasa! Wahai penghuni belukar lagi sunyi sepi! Betapa hal keadaanmu di dunia sebelah sana?” Beliau menyambung lagi: “Berita dari kami ialah bahawa segala apa yang telah kamu tinggalkan baik berupa harta dan kekayaan telah lama diagih-agihkan, anak-anakmu telah lama menjadi yatim, jandamu telah lama berkahwin semula. Sekarang beritahulah berita mengenaimu. “Beliau berpaling kepadaku: “Wahai Kumail! Jikalau mereka dapat berkata-kata, nescayalah mereka akan memberitahu kita bahawa perbekalan yang terbaik sekali untuk akhirat ialah taqwa. “Airmata mengalir tatkala beliau menambah kata-kata: “Wahai Kumail! Kubur adalah merupakan peti amalan, tetapi hanyalah disedari apabila seseorang itu meninggal dunia.”

Segala amalan kita sama ada baik atau buruk akan disimpan di dalam kubur. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa seseorang itu akan menemui amalan-amalannya yang baik di kubur di dalam bentuk seorang yang menjadi teman setia yang bersahabat dan mententeramkan di sana.tetapi amalan-amalan buruknya menjadi sehodoh-hodoh makhluk yang akan mengeluarkan bau busuk, menambah lagi azabnya.

Suatu ketika Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu hubungan antara kaum kerabat, harta dan amalan-amalan dengan diri kamu?”

Sahabat-sahabat pun menyatakan keinginan untuk mengetahuinya. Baginda bersabda:

“Ia dapat diumpamakan sebagai seorang yang mempunyai tiga saudara. Apabila dia hampir mati, dia pun memanggil salah seorang saudaranya lalu bertanya kepadanya: “Wahai saudaraku! Kamu maklum malapetaka yang menimpaku? Apakah pertolongan yang dapat kamu berikan pada saat ini?” Saudara itu menjawab: “Aku akan memanggil tabib untuk mengubatimu, dia akan memeriksa dan menjagamu. Apabila kamu mati, daku akan memandikan kamu, kafan dan membawa kamu ke kubur. Kemudian aku akan mendoakan kamu setelah dikebumikan. Saudara ini ialah sanak saudara dan kaum kerabat.”

Soalan yang sama ditanyakan kepada saudara yang kedua yang kemudian dijawab olehnya: “Daku akan sentiasa bersama-sama selagi hidupmu. Sebaik-baik sahaja kamu mati, maka daku akan berpindah kepada orang lain.” Saudara ini ialah harta dunianya. Dia menyoal pula saudaranya yang ketiga dengan soalan yang sama, kemudian di jawab:

“Daku tidak akan meninggalkanmu walau semasa kamu berada di dalam kubur, daku akan memberatkan timbanganmu di neraca apabila amalan-amalannya yang baik.”Sekarang beritahulah daku, saudara jenis yang manakah yang mendatangkan faedah yang lebih kepada orang tersebut?”

Sahabat-sahabat menjawab: “Ya Rasulullah! Saudara yang terakhir itulah yang paling bermanfaat kepadanya. Tidak ada keraguan mengenainya. Saudaranya yang dua lagi tidak mendatangkan apa-apa pertolongan.”

0 comments:

Post a Comment