Sahabat Sejati

Sunday 21 February 2010

satu perjuangan


"Kalau tiada apa-apa hal lain. Kita tangguhkan majlis kita ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-`Asr.”

Usai majlis perjumpaan ahli UAIM malam itu. Jam menunjukkan hampir 12 malam.

“Eh nak balik dah, makanlah dulu, banyak kuih ni,” tegur sahabat saya.

“Ana kurang sihatlah syeikh,” saya memberitahunya. Saya seperti sudah kehabisan tenaga, longlai rasanya. Demam belum kebah lagi.

“Oh patutlah ana tengok anta diam je, habis malam esok mesyuarat MTD datang tak?” Beliau bertanya lagi.

“Insya-Allah ana datang,” ujar saya perlahan. Mudah-mudahan jawapan saya itu bukanlah untuk ‘melepaskan diri’ tetapi satu keazaman demi sebuah amanah.

Saya membelah dingin malam untuk pulang ke rumah. Keluarga semua telah pun tidur, sedang diulit mimpi barangkali. Esok satu lagi program menunggu, entah pukul berapa pula sampai ke rumah. Hati kecil berbicara sendiri.

Berteman secawan air, saya berteleku sebentar di meja tulis. Mata belum mengantuk lagi. Segera saya mencapai sebuah buku di antara himpunan buku yang tersusun rapi, lalu menyelak selembar demi selembar. Terpaku saya...

Dalam Shahih Bukhari dan Muslim bahawasanya Rasulullah saw mengunjungi Baqi` Al-Gharqad kemudian kembali ke rumahnya. Aisyah berkata: “Oh sakitnya kepalaku, ya Rasulullah.”

Pada hari itu Aisyah diserang selsema. Rasulullah saw bersabda: “Saya juga sakit kepala.”

Rasulullah saw mengadukan kepadanya bukan kerana marah tapi hanya memberitahu sahaja.

“Harus ada keluhan curahan hati kepada sanak saudara. Ia akan menghiburmu atau menyayangimu atau ikut-ikutan sakit.”

Seorang hamba dibenarkan memberitahu sakitnya atau kefaqirannya agar ia rendah hati kerana sebahagian manusia lupa kepada hari-hari susahnya dahulu apabila ia sudah senang dan mewah. Ia merasa sombong dan lupa akan nikmat Allah SWT yang telah merubah nasibnya.

Oleh itu Umar r.a. berkata kepada sahabatnya pada waktu ia menjadi khalifah: “Demi Allah SWT, sesungguhnya aku menggembala kambing di zaman jahiliyyah. Aku dipanggil orang Umair.

Tetapi para ulama` tidak membenarkan menyebut dosa-dosa di masa lalu, tetapi ia harus bertaubat dan menutupi kesalahannya di mata orang. (Dr `Aidh Abdullah Al-Qarni: 1001 Hikmah Sepanjang Zaman).

Tenang...

Mendamaikan...

Demikianlah penawar mujarab, penyembuh peyakit yang melemahkan perjuangan.

Thursday 18 February 2010

Kembara mencari hamba

“Anak ni datang dari mana? Tegur pakcik itu ramah.

“Dari Kuantan, pakcik,” jawab saya setelah melabuhkan punggung di beranda surau kayu itu. Persekitaran surau itu cukup bersih, pohon-pohon kayu yang merimbun di sekitarnya menjadikan suasana di sekeliling redup dan menghadirkan ketenangan.

Kelihatan beberapa ekor burung hinggap di dahan rambutan di luar pagar surau. Nun di hujung sana deretan pohon kelapa menambahkan lagi kedamaian susana desa. Meliuk-liuk pelepahnya disapa desiran bayu petang.

Damai...mendamaikan...

“Maka bagi Allah segala pujian, pencipta langit dan bumi, pencipta sekelian alam.” (Al-Jatsiah: 36)

“Ohh..jauh tu, berapa orang semuanya. Agaknya ada hal penting datang ke sini,” katanya lagi memecahkan lamunan saya. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

“Kami semua lapan orang... ada program amal di sini, Ini pun dah nak balik dah ni, 3 hari kami di sini. Pakcik tinggal di kawasan sini ke?”

“Ha’ah.. rumah pakcik di belakang sana, ikut jalan tanah merah ni, ha.. dekat sikit. Biasanya lepas sembahyang asar begini pakcik suka berehat kat surau ni.” Katanya lagi sambil tangannya memetik buah tasbih. Saya agak umurnya dalam lingkungan 70-an. Tetapi tampak masih sihat.
Bersama teman UAIM..kunjungan ke utara tanahair
Satu perjalanan

Satu hari saya bertemu dengan seorang insan tua, ketika kunjungan saya ke utara tanahair. Kami berbual panjang. Butir-butir kata yang lembut dan keramahannya membuatkan kemesraan segera terjalin.

Beliau kerap kali menyebut tentang sifat kehambaan, apakah jiwa hamba? Sudahkah kita memiliki jiwa hamba?

Persoalan demi persoalan yang dilontarkan menerpa dalam diri. Terkedu dan terkelu. Saya hanya membiarkan diri larut dalam perasaan. Tiada bahasa maupun kata yang mampu saya tuturkan.

Dalam perjalanan pulang, saya cuba melelapkan mata, cuba meredakan perasaan yang sedikit berkecamuk. Perbualan di surau petang tadi kembali menerjah dan bersarang, sarat di fikiran.
“Anta tidur ke?” Tanya sahabat di sebelah. “Nampak letih je, ataupun kita nak minum dulu, nanti kita berhenti di R&R.”


R&R Tapah...
Kembara mencari hamba

Saban ketika saya mencari-cari jawapan. Terkadang hingga menganggu tidur, membawa ke alam mimpi. Apakah jiwa hamba, sudahkah kita memiliki jiwa hamba. Akhirnya saya temui jawapan itu, walaupun tidak pasti apakah itu jawapan yang hakiki...

“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa jua pun) lagi Maha Terpuji.” (Al-Faatir: 15).

Benar, hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya?

Mungkin selagi ada dalam jiwa ini rasa sebagai tuan, selagi itulah kita mengeluh dengan ujian dan kelemahan. Lupa pada rasa hamba Tuhan.

Mungkin selagi ada dalam jiwa ini rasa memiliki, selagi itulah kita mengeluh dengan kehilangan dan kekurangan. Lupa pada apa yang diberikan-Nya.

Kerana itu kita sering resh gelisah dan membentak sehingga memberontak… kerana lupa kita dimiliki dan Dia memiliki, kita hamba dan Dia segalanya. Kita kelihatannya seperti sangat beragama, tetapi apabila direnung pada keyakinan dan pegangan diri dalam kehidupan, ternyata kita kosong umpama hidup tanpa tujuan, tidak berTuhan.

Kita beragama, tetapi kita faqir dari sifat kehambaan, tidak terpercik walau sekelumit kebesaran si Dia.

“Maka tetaplah kamu di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) kepada orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112).

Sukarnya mencari jiwa hamba...

Saya bertanya pada diri. Mengapakah dalam kehidupan sehari-hari kita kurang menghayati makna jiwa hamba. Setiap hari kita selalunya bertindak selaku tuan, tidak sebagai hamba. Maka, dengan itulah terbitnya keegoan, kesombongan, riya` dan segala macam sifat mazmumah. Demikianlah yang mewarnai kehidupan kita sehari-hari. Tambahan pula, tanpa merasa diri ini hamba kepada Tuhan, maka kita juga jarang mengingati-Nya dan kurang berusaha untuk mendekati-Nya

Aduhai lemahnya diriku...

Oleh itu, marilah kita sama-sama memikirkan, adakah kita mempunyai sifat seorang hamba kepada Tuhannya atau masih lagi menganggap dirinya seorang ‘tuan’?

“Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Al-Zaariyat: ayat 56)

Marilah kita sama-sama berusaha menggapainya...

Dari aku untuk aku...

Saturday 13 February 2010

Sakit itu nikmat


“Adoii…sakitnya,” saya melepek di atas tilam di ruang tamu. Seluruh sendi bagaikan dicucuk-cucuk. Sudah 2 hari saya demam dan batuk-batuk. Si kecil Haikal pun sama. Merengek-rengek di sebelah.

Kerongkong perit dan meremut gatal. Tekak terasa tawar dan hambar. Semua yang di telan sama sahaja rasanya.

Berturutan keluarga saya demam. Mula-mula isteri dan achik, kemudian angah diikuti pula along. Selepas itu Haikal dan saya, penutup tirai mungkin.

Bimbang juga tatkala melihat di televisyen amaran gelombang kedua H1N1. Namun setelah ke klinik, hanya demam biasa sahaja. Alhamdulillah.

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu akan dikembalikan.” (Al-Anbiyaa`: 35)

'Si kecil Haikal'

Pelajaran dari Tuhan

“Kenapa Allah bagi abi demam?” Tanya saya kepada anak-anak. Sewaktu kami semua berbaring di hadapan televisyen di ruang tamu.

Biasanya pada cuti sekolah ataupun jika ada di antara ahli keluarga kami sakit atau demam kami akan tidur berbaris di ruang tamu. Sambil-sambil itu, kami akan berbual, bergurau dan saya cuba untuk selitkan sedikit nasihat dan pelajaran. Cukup berkesan.

“Entah tak tahu, kenapa ummi?” tanya achik, yang paling keletah dalam keluarga kami.

“Itu tanda Allah sayang kepada kita. Dia beri kita sakit supaya dengan kesakitan itu kita akan sentiasa ingat dan mengharap pada-Nya. Bila kita sakit baru kita dapat rasa nikmatnya sihat. Dalam masa yang sama kita mesti banyak bersabar.” Ummi menerangkan.

“Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (An-Nahl: 96)
“Ohh...macam tu,” hampir serentak anak-anak menjawab.

Sabar adalah pokok yang sangat penting dalam kehidupan. Tanpa sabar ada kemungkinan akan terjadi kekcewaan ataupun putus asa daripada rahmat Allah SWT. Hakikatnya, bersikap sabar di waktu dalam keadaan lapangnya rezeki serta sihat tubuh badan adalah lebih berat dalam tanggungan jiwa, sebab sabar dalam keadaan ini disertakan dengan kekuasaan dan kesempurnaan. Dengan kata lain, mengingati Allah dalam keadaan senang amat payah.

“Alah..dah sakit baru nak ingat kepada Allah, tapi masa sihat dunia macam dia yang punya,” kebiasaan suara-suara yang sebegini akan kedengaran.

Memang benar inilah yang sering berlaku. Cuma apa yang hendak kita fikirkan sekurang-kurangnya si sakit itu ada juga mengingati Allah, lebih baik dari tidak mengingati langsung baik diwaktu sihat maupun sakit.

Sebaiknya orang yang sakit memuji Allah sebelum menyebut penyakitnya. Kata Ibnu Mas`ud, kalau ada tanda-tanda kesyukuran sebelum mengeluh, itu tidak dianggap mengeluh. Sedangkan mengeluh kepada Allah memang disuruh. Dalam erti kata yang lain, mengeluh berbentuk pengaduan dan pengharapan.

Nabi Yaakub a.s berkata, sesuai firman Allah SWT: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Yusuf: 86)
Janganlah pula sesekali kalimah yang terbit dari mulut si sakit itu ialah kalimah-kalimah yang tak sepatutnya seperti kalimah menyalahkan Allah, putus asa dan kekecewaan. Na`uzubillah.

“Dan jangan tinggal solat pula”, tambah saya pula. “Ada orang yang sakit sikit terus tak solat, tak boleh begitu.”

“Habis kalau sakit nak solat macam mana abi?” tanya si ‘keletah’ itu lagi.

“Ohh...kita boleh solat sambil duduk, kalau tak boleh solat baring atau mengiring, tapi kenalah belajar.”

“Haa.. kat sekolah mu`allimah ada ajar cara solat orang sakit, macam yang abi cakap tu,” sahut anak sulong saya.

“Ok, masa dah cukup, masa untuk tidur. Esok kita sambung semula cerita kita.” Beritahu isteri saya kepada anak-anak.

Bismikallahumma ahya wa amut...


Daripada Abu Hurairah r.a, katanya; Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah mengenai akan seorang muslim daripada penyakit, kesusahan, penderitaan, dukacita, rasa sakit, termasuk duri yang mengenainya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahannya disebabkan kesusahan itu.” (Bukhari dan Muslim).

Tuesday 2 February 2010

SAKINAH: sumber ketenangan dan keberkatan dalam hidup


Resah dan gelisah amat menekan hidup!

Segala yang bermain di fikiran akan jelas terpancar pada rona wajah dan tingkahlaku. Kegembiraan dan kebahagiaan akan dibayangi wajah tenang dan bahagia. Manakala kedukaan akan membekas dengan muka yang murung serta resah dan gelisah.

Kesan kegelisahan ini boleh merosakkan jiwa, bahkan boleh menyebabkan rasa putus asa dan memudaratkan diri.

Resah dan gelisah adalah asam garam dalam kehidupan. Tiada manusia yang tidak pernah merasai kegelisahan dan kedukaan, begitu juga tiada manusia yang tidak pernah mengecapi ketenangan dan kebahagiaan.

Allah swt berfirman:


“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah serta bakhil (sifatnya). Apabila ia ditimpa kesusahan ia akan resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kebaikan, ia sangat bakhil (tidak mahu memberi).” (al-Ma`aarij: 19-21)

Setiap penyakit ada penawarnya, kecuali tua dan mati. Demikianlah penyejuk hati penguat diri yang disampaikan oleh junjungan besar Rasulullah saw.

Namun, penawar yang di cari haruslah sesuai dengan penyakit dan benar rawatannya.
Seumpama analogi, sebuah rumah mengalami kebocoran atap. Apabila hujan turun, air akan menitis ke dalam rumah. Penghuni rumah tersebut mulalah sibuk mencari bekas air untuk menadah tempat bocor. Mula-mula mereka mencari bekas kecil, apabila air menitis itu memenuhi bekas tadahan lalu mereka mencari bekas yang lebih besar. Adakah masalah kebocoran itu akan selesai?

Tidak sama sekali.

Hal ini kerana mereka hanya merawat permasalahan tersebut secara sementara sahaja. Titisan air itu adalah simptom kepada kebocoran atap. Punca sebenar yang perlu dirawat ialah atap. Sekiranya penghuni itu mencari tempat bocor dan terus menutupnya dengan sesuatu. Insya-Allah masalah akan selesai.

Justeru, ‘SAKINAH: SUMBER KETENANGAN DAN KEBERKATAN DALAM HIDUP’ muncul sangat tepat pada masanya. Untuk merungkai permasalahan hidup yang mendorong kepada rosaknya cara berfikir.
Firman Allah swt:



“Wahai manusia, telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa), dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Bacalah dengan nama Tuhanmu

Dengan segala beban yang menghimpit jiwa, saya memaksa diri pada mulanya, menghulur tangan untuk mencapai sebuah buku yang biasa-biasa sahaja kulitnya. Tetapi setelah menghadamnya dari kulit ke kulit, saya cukup berpuas hati dan meyakini hadirnya perasaan tenang, membunga sedikit demi sedikit.

‘SAKINAH: SUMBER KETENANGAN DAN KEBERKATAN DALAM HIDUP’ sentuhan oleh penulis muda asal negeri jolokan Serambi Mekah, sesungguhnya ‘mengajar banyak perkara’. Jalan menuju ketenangan bukanlah suatu yang mudah, tetapi tidak mustahil dicapai.

Buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian:

Bahagian 1 – PERBANDINGAN: MANA SATU PILIHAN KITA?

Bahagian 2 – PUNCA KELESUAN DAN PENYAKIT SPIRITUAL

Bahagian 3 – KESIHATAN FIZIKAL

Bahagian 4 – KESIHATAN SPIRITUAL

SUMBER PERTAMA - SOLAT: FALSAFAH DAN IMPAKNYA

SUMBER KEDUA - MENCARI YANG HALAL, BAIK DAN BERKAT

SUMBER KETIGA - MENDALAMI ILMU AKHIRAT

SUMBER KEEMPAT - MENYUCIKAN PANCAINDERA DARIPADA DOSA

SUMBER KELIMA - MEMAHAMI AURAT DAN BAHAYA ZINA

Karya - A. Ubaidillah Alias
Penerbit - Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga - RM 17.90 (Sem) RM 20 (S/S)
m/s: 216

Mudah-mudahan dalam kemelut moral masyarakat hari ini, ‘SAKINAH: SUMBER KETENANGAN DAN KEBERKATAN DALAM HIDUP’ mampu menyuntik kembali semangat spiritual yang lesu serta dapat menatijahkan ketenangan dan keberkatan dalam hidup.

“Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan berpuas hati (redha) dan tenang (diredhai)
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-KU
Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (al-Fajr: 27-30)

Saya dambakannya...