Sahabat Sejati

Sunday 3 January 2010

Musafir yang melahirkan ukhuwwah

Ada sesuatu yang istimewa di Negeri Terengganu. Setiap kali saya ke sana pasti ada satu macam perasaan yang hadir dalam diri. Satu perasaan yang amat sulit untuk saya jelaskan. Namun saya merasainya. Perasaan itulah yang menyebabkan saya ingin ke sana lagi.

Kali terakhir saya ke sana hampir sedekad yang lalu, meraikan perkahwinan seorang sahabat. Masih segar di ingatan ketika rombongan kami singgah bersolat Jumaat di Masjid Rusila yang damai itu.

Perancangan Tuhan, saat itu hadir kembali apabila seorang sahabat berbangsa Tionghua mengajak saya menemannya ke sana. Ada urusan yang nak diselesaikan. Cheong namanya.

“Amacam jadi pergi,” tanya beliau

Insya-Allah, berapa orang?

“Termasuk ‘you’ 4 orang, Zawidi dan Mat Amin pun pergi,” balasnya.

Beliau memang sinonim dengan kalimah insya-Allah, masya-Allah, alhamdulillah, Allahuakbar. Tempias pergaulan dengan kami barangkali.

Hari yang dijanjikan. 3.30 petang kami memulakan perjalanan. Tergambar keceriaan di wajah masing-masing. Lebih-lebih lagi si Zawidi, ada-ada sahaja ideanya untuk menggamatkan suasana. Perjalanan selesa dan lancar, tidak banyak kenderaan di jalan raya.

`Singgah makan di Marang yang mendamaikan`

Kami berhenti makan di Marang, terasa lembut bayu laut Cina Selatan menyapa pipi kami. Sungguh mendamaikan. Nun di sana Pulau Kapas tersergam bagaikan menggamit kami agar ke sana. Kami solat maghrib dan isya` di surau berhampiran.

Kuala Terengganu: hari 1

Kami berpusing-pusing di sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Kedai sudah banyak yang ditutup, sedangkan malam masih awal lagi. Akhirnya kami ‘parking’ di Dataran Syahbandar.

“Jom kita minum dulu,” cadang Cheong

Kami minum di warung berhampiran. Terasa begitu erat persahabatan kami. Lebih-lebih lagi dalam keadaan bermusafir begini. Banyak perkara yang dibualkan.

Selesai minum kami kembali ke kereta. Saya tersentak melihat keadaan hingar-bingar di situ. Kumpulan anak muda memenuhi kawasan itu. Ada yang bermotor, berkereta, berpasang-pasangan. Kebanyakannya anak melayu Islam. “Beginikah anak bangsaku di bumi Darul Iman yang merdeka ini,” terasa sayu di dalam hati.

Kami tidur di Masjid Al-Muktafi Billah, manakala Cheong mahu tidur di dalam kereta. Sejuk mozek katanya. Entahlah berapa kali saya terjaga kerana nyanyian tanpa melodi, si kecil nyamuk, tetapi yang amat mengganggu ialah dengkuran sahabat di sebelah.

Kuala Terengganu: hari 2

Seusai solat subuh, kami mengemas pakaian. Kami bersarapan di sebuah warung berhampiran kampung Cina. Hari itu saya mengenali nasi kuning yang saya sangkakan adalah nasi berlauk.

` Sarapan pagi dengan nasi kuning, yang disangkakan nasi berlauk`

Setelah menyelesaikan beberapa urusan, kami pun menuju ke Taman Tema Islam (TTI) yang ‘gah’ itu. Kami tidak masuk ke dalam sekadar bergambar di pintu masuk sahaja. Kemudian kami ke Masjid Kristal pula, melihat rekabentuk dan lanskap sekitarnya cukup teruja. Memang layak ia menjadi sebutan ramai. Tetapi apabila masuk ke dalam terasa ‘kosong, sunyi’. Harap-harap turun sakinah namun kelam. Indah sekadar di mata.


`Indah di mata, namun...

“La kecil aje, dari luar nampak besar,” getus saya sendirian.

Kami meninggalkan Masjid Kristal yang ‘indah’ itu menuju ke Muzium Negeri Terengganu. Dengan tiketnya yang semurah RM2, barulah rasa seronok, terubatlah ‘luka’ penangan Masjid Kristal. Hampir 2 jam kami berpusing di dalamnya. Melihat segala macam artifak yang dipamerkan.


`Muzium Negeri Terengganu yang mengubat luka`

Untuk melengkapkan kembara kami di bumi Darul Iman ini, kami bersiar-siar di Pasar Payang. Masing-masing membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang.

Sebelum pulang kami mendaki Bukit Puteri, menikmati panorama dari puncaknya. Setelah mengambil gambar beberapa keping, kami pun turun dan bersiap untuk pulang.

4.30 petang kami bertolak pulang dengan membawa berbagai kenangan. Nilai ukhuwwah yang terjalin amat tinggi nilai harganya. Tidak mampu untuk saya coretkan semuanya, biarlah ia menjadi kenangan dalam diri. Itulah yang dapat saya rasakan dan saya membawanya pulang bersama.


`Bersama akhi Zawidi`

“Selamat maju jaya ana doakan kepada anta di tempat baru nanti, anggaplah kembara kita ini sebagai meraikan anta”. Sambil bersalaman dengan Zawidi yang akan bertugas di tempat baru selepas ini.

0 comments:

Post a Comment