Sahabat Sejati

Saturday 19 December 2009

Ramai Umpama Buih

Daripada Tsauban ra: Rasulullah saw bersabda: Hampir tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit `wahan`" Seorang sahabat bertanya: "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi saw menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (hadis riwayat Abu Daud)

Mari kita renungkan apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw ini. Nabi menyebut lebih 1400 tahun yang lalu. Dan kita lihat sedikit sebanyak ia telah pun berlaku. Umat Islam kini melebihi 1 bilion. Mereka bertebaran di seluruh pelosok dunia. Kebanyakkannya tinggal di negara yang dikurniakan Allah hasil mahsul yang mewah. Seumpama negara-negara Arab yang kaya dengan hasil petroleum. Persoalannya mengapa umat Islam menjadi lemah, sedangkan dalam masa yang sama mereka umat yang teramai dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh.

Umpama buih

Rasulullah saw telah menjelaskan punca kelemahan umat ini adalah kerana penyakit yang menimpa mereka, iaitu penyakit `wahan`. Apakah penyakit wahan itu? Dijelaskan oleh Rasulullah saw penyakit wahan itu ialah kamu cinta pada kehidupan dunia dan pada masa yang sama kamu takut pada kematian.

Cinta pada kehidupan dunia menyebabkan umat Islam menjadi tamak, bakhil, dengki, sombong, mementingkan diri serta tidak mahu berjihad di jalan Allah. Istilah berkorban untuk agama telah lama terpadam di dalam kamus kehidupan segelintir umat Islam masa kini. Mereka tergoda dan leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat yang abadi.

Lihatlah realiti yang berlaku hari ini. Selaklah lembaran-lembaran akhbar pasti ada terpampang berita mengenai krisis keruntuhan akhlaq dan moral. Ianya semakin hari semakin membarah. Ditambah lagi dengan kegawatan ekonomi yang melanda dunia kini.

Peranan media baik elektronik maupun cetak (tidak semua) yang seolah-olah turut sama menyuburkan krisis kegawatan moral ini. Lambakan rancangan realiti bagaikan tiada belas kasihan pada iman kita yang sudah setipis kulit bawang.. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Begitu juga dengan kecanggihan teknologi IT, dunia tanpa sempadan, dunia di hujung jari akhirnya iman kita umpama di hujung tanduk.

Masalah rasuah bukan rahsia lagi. Ia telah menyerap ke dalam pelbagai organisasi kepimpinan. Terbaru kajian Transperancy International melaporkan kedudukan negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah merudum dari tangga 47 pada tahun 2008 ke tangga 56 pada tahun 2009. (Sumber: Harakah bil 1490). Apa yang kita bimbangkan, keadaan seperti ini seakan membuka jalan kepada musuh Islam untuk menghancurkan Islam.

Berubahlah!

Oleh itu marilah kita berganding bahu, berpadu tenaga memainkan peranan untuk mengembalikan kegemilangan umat ini. Janganlah kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya tekadkan diri kita untuk berubah demi Islam tercinta.

Marilah kita mencontohi umat Islam generasi pertama dahulu. Selaklah lembaran sejarah. Para sahabat telah mengorbankan harta dan jiwa mereka, serta melalui peristiwa pahit getir, kesusahan semata-mata untuk agama ini. Kesakitan dan kesusahan hidup tidak sekali-kali mampu menggugat iman dan keyakinan mereka. Malahan segala ujian ini menjadikan iman mereka semakin subur dan mantap.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali redha terhadap kamu selama-lamanya, sehingga kamu mengikut cara hidup mereka." (2:120)

0 comments:

Post a Comment