Sahabat Sejati

Wednesday 23 December 2009

Cerita malam tadi


"Assalamualaikum, anta kat rumah ke, tunggu ana datang ambil." Saya menerima panggilan telefon dari Sheikh Azlan. Beliau adalah ketua penyelaras Unit Amal Kawasan.

"Waalaikum as-salam, ya kat rumah, ok ana tunggu." Saya menjawab.

Malam ini kami akan ke Indera Mahkota untuk program penerangan Unit Amal kemudian di sambung dengan mesyuarat bulanan amal. Unit Amal bermesyuarat bulanan di cawangan yang berbeza setiap bulan. Salah satu cara untuk mengenali dan mendekati ahli. Cukup berkesan.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Respon yang diterima dari hadirin dalam sesi soal jawab juga agak memuaskan.

"Kita tutup majlis dengan tasbih kaffarah dan surat al-`Asr." Jam sudah menghampiri 12.30 pagi.

Kami semua berpisah. Saya dan Sheikh Azlan membelah malam menyusuri jalan bypass yang sepi itu. Sekali sekala berselisih dengan kenderaan lain. Kami memasuki jalan kampung Sg Karang, sengaja memilih jalan itu untuk melihat suasana kampung dinihari dan bagi saya mungkin ada percikan ilham buat menulis nanti.

Sheikh Azlan memandu tenang, tiba-tiba...`sang kancilnya` bagaikan hilang daya pecutan, tidak dapat bergerak laju, merangkak-rangkak. Cukup perlahan. Saya rasa boleh dikejar oleh pelumba jalan kaki.

"Eh, kenapa ni? Beliau kehairanan. Masya-Allah, tali minyak putuslah," kata Sheikh Azlan.

Habis macam mana ni, kalau laju macam ni subuh baru kita sampai," saya menjawab

"Tak apa ana `call` Al Haras suruh dia ambil kita. Kereta kita tinggalkan di rumah Haji Din, dia tinggal di sini, lagipun dia ada bengkel kereta dekat rumahnya. Boleh ana minta dia baiki kereta ana, ana `call` Haji Din dulu" balas Sheikh Azlan lalu menelefon Haji Din.

Pukul 2.00 pagi saya tiba di rumah.

Terima kasih

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak boleh tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Terima kasih kepada Haji Din yang sudi meninggalkan tempat tidur sebentar semata-mata untuk membantu kami. Juga kepada sahabat amal, saudara Al Haras yang sanggup keluar semula mengambil kami walaupun sudah sampai ke rumah, mungkin baru hendak masuk tidur barangkali. Budi baik kalian tak mungkin dilupakan.

Asam garam perjuangan.

0 comments:

Post a Comment